Sunday, January 18, 2009

Huraian dan hubungan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Islam

Sebagaimana digariskan dalam Falsafah Pendidikan Negara, pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Usaha ini bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Walaupun pernyataan Falsafah Pendidikan Negara hanya mengandungi dua ayat, ianya sarat dengan nilai yang dihajati rakyat dan pelajar sehingga menjadi darah daging mereka.
Aspek penting dalam falsafah itu ialah wajah insan yang dihajati dan kaedah untuk mencapainya. Insan yang dihajati dalam falsafah itu ialah insan yang baik dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Intelek penting kerana manusia yang baik adalah manusia yang berilmu, cintakan ilmu, mempunyai daya intelek dan daya fikiran yang tinggi. Rohani pula merujuk kepada jiwa manusia atau kalbunya yang memberi suara hati kepada manusia. Nilai yang dihayatinya akan menimbulkan kesedaran mengenai apa yang betul dan salah, rasa simpati dan seumpamanya.
Aspek emosi pula menekankan perasaan. Manusia yang baik mempunyai perasaan cinta dan kasih sayang. Manusia yang tidak mempunyai perasaan ini akan mirip kepada kebencian dan kemusnahan. Sejarah banyak menunjukkan manusia yang diasuh dengan kebencian mirip kepada persengketaan, peperangan dan kebinasaan, manakala manusia yang diasuh dengan kasih sayang mirip kepada kedamaian dan pembinaan.
Jelasnya, matlamat membina manusia yang baik yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Negara memerlukan pendekatan yang rapi dan komprehensif. Konsep ini adalah pokok kepada pedagogi pendidikan.
Sebenarnya, 16 nilai dikenal pasti untuk disepadukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran menerusi Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).
Kesepaduan ini hendaklah dilakukan melalui kaedah 'nilai merentas kurikulum'. Ini bererti pengajaran nilai mengikut kaedah itu bukan saja berlaku dalam mata pelajaran moral dan agama, malah perlu berlaku dalam pengajaran semua mata pelajaran.
Jelas, peranan Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Islam memang besar, perlu, penting dan kritikal sekali dalam konteks pembinaan insan. Ini membuktikan Falsafah Pendidikan Negara yang bersifat menyeluruh dan bersepadu menekankan keperluan pembinaan tingkah laku yang selaras dengan fitrah kejadian manusia. Bermakna, ianya begitu saling berkaitan dalam pembinaan modal insan yang dihajati oleh Negara kita. Bagaimanapun, anjakan paradigma perlu berlaku pada konsep pendidikan Islam, bukan semata-mata kerana hendak membawa perubahan tetapi berikutan desakan semasa. Mahu tidak mahu pendidikan Islam yang difahami selama ini, perlu mengambil wajah baru. Sekurang-kuranguya ada dua desakan yang perlu diberi perhatian. Desakan pertama ialah kedatangan alaf baru dan desakan kedua ialah perkembangan peristiwa sosial dan politik semasa. (Berita Harian, 16 Feb 2000)
Perkembangan ini tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya mesti menghadapinya kerana pendidikan tidak terpisah dan memencilkan diri daripada persekitaran. Malah, pendidikan adalah sebahagian daripada alam sekitar dan sentiasa berada di bawah pengaruhnya. Oleh itu pendidikan perlu melalui proses penyesuaian kerana kegagalan berbuat demikian boleh membawa kepada akibat yang tidak diingini.
Pendidikan Islam adalah suatu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan Negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan di akhirat.

Dapat dilihat bahawa Falsafah Pendidikan Islam lebih mementingkan segala ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam itu berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Pembentukan akhlak dan peribadi muslim juga diasaskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pegangan.
Abdul Halim (1989) membuat kesimpulan bahawa para sarjana dan cendiakawan Islam mempunyai pemikiran dan pendapat yang sama mengenai Pendidikan Islam dengan meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai tempat teratas. Oleh itu beliau merumuskan bahawa Pendidikan Islam harus berperanan untuk membentuk peribadi yang memenuhi ciri-ciri insan "Kamil" iaitu sempurna. Antara ciri-ciri tersebut adalah:
1. Mempunyai keimanan yang teguh
2. Patuh dan tekun menjalankan perintah-perintah Allah dan menjauhi segala larangannya
3. Mempunyai akhlak yang luhur
4. Mempunyai sikap social yang baik
5. Memiliki ilmu pengetahuan dan kematangan intelektual yang tinggi
6. Mampu berdikari dalam segala aspek khususnya di dalam mencari rezeki untuk kehidupannya sendiri dan orang yang menjadi tanggungjawabnya
7. Bersedia memikul tanggungjawab agama dalam segala aspek seperti peribadi, masyarakat, negara dan seluruh umat manusia

Tujuan pendidikan umum ialah untuk membangun pemikiran termasuk minda dan personaliti secara menyeluruh, ia tidak memberikan kemahiran khusus tetapi membina personaliti yang menyeluruh (Syed Hussein Alattas,2005). Oleh itu, Pendidikan Islam harus mengambil kira kepentingan dunia dan akhirat supaya kekuatan individu dan masyarakat yang dibina dapat memberi makna kepada pembentukan negara yang dihormati.
Kesimpulan
Masyarakat luar melihat Pendidikan Islam yang dilaksanakan dahulu mampu membuat perubahan dan memberi sumbangan kepada seluruh dunia. Kesimpulannya, matlamat pendidikan Islam harus memenuhi tiga perkara asas untuk menjadi umat yang disegani iaitu memelihara kesejahteraan, mewujudkan sistem sosial yang selamat dan dapat menyemai nilai kepercayaan.

Secara keseluruhannya, dapat dirumuskan bahawa Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Islam saling berkait rapat dalam membentuk persekitaran pendidikan yang kundusif dan bersepadu. Bermakna, andainya salah satu falsafah ini diabaikan, maka pincanglah usaha Negara untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Dapat dirumuskan Falsafah Pendidikan Islam lebih mementingkan penghayatan setiap individu yang berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah untuk mencapai kebaikan di dunia dan di akhirat.

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates